BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, December 28, 2012

Erti Hidup, Erti Tawakal

Ya ALLAH...
dalam kembara ini KAU mengajarku erti tawakal
pada lambungan dan lenturan awan
ada takut ada harap
ada cemas ada tenang
Ya ALLAH...

Terlalu rapuh rupa-rupanya imanku pada-MU
aku takut Ya ALLAH...
di mana aku di sisi-MU?

Ya ALLAH...
pimpinlah aku
didiklah aku
terimalah aku
sebagai hamba-MU yang yakin
selalu menyerah kepada-MU
dalam apa jua keadaan
di mana jua kedudukan
yang kuharap hanya KAU
rahmat dan pembelaan-MU
kemudi hatiku kian longlai
pelayaran ini terlalu panjang
kembara seakan tak berhujung
aku lelah...

KAUlah yang Maha Gagah
pada kelemahan dan keletihan ini...
kupohon KAU pulihkan
berilah aku kekuatan...
untuk ku teruskan perjalanan


Allah, mood nak exam. Nak baca, tapi sejuk sangat. Nak tulis, buat nota, beku tangan-tangan. Serba tak kena. Macam tak ada apa-apa dalam kepala aku. Vocab Arab pun, macam satu habuk pun tak ada. Entahla aku nak dapat apa untuk Sem 1 ni. Jelous dengan kawan-kawan sekelas. Plus syabab. Ahh, jelous jelous. Masa F5 dulu tak da syabab pun yang potong aku dalam kelas. Kalau sebatch tu lain la kan, huhu. Okay takpa. Aku belajar, aku belajar. Moga hati ini redha atas kelemahan ini. Moga diri ini kuat untuk melawan kelemahan ini.

Bersabarlah dengan musibah semalam. Musibah dunia bukanlah selamanya 
Rezekimu walaupun lambat pasti tidak berkurangan, juga tidak bertambah sekalipun ditekuni 
Jadilah lelaki di kala kesengsaraan, dan tingkahmu penuh toleransi dan ketulusan.
'Biarkan masa berlaku semahunya, murnikan jiwa tatkala berlaku ketentuan.
~As-Syafie~ 

Wednesday, December 26, 2012

Rahmat ALLAH Itu Luas

Pandanglah ke bawah
untuk sedar nikmat yang melimpah
pandanglah ke atas
untuk insaf amalmu yang terbatas
moga di situ nanti takut dan harapmu bersemi

Kekadang mahmudah tidak dapat dicapai dengan amalan 
tapi harus ditempa oleh kerikil ujian
sering kali kealpaan dan mazmumah diri
diperingatkan oleh kesempitan rezeki

Sejauh mana kita mengasihi manusia
dibatasi oleh seutuh mana kasih kita pada yang Esa
hitung kesyukuranmu...
bukan kesukaranmu

Kekadang TUHAN menyempitkan...
agar engkau tidak hanyut dalam kesenangan
kekadang DIA melapangkan...
agar engkau tidak selalu dalam kesempitan
kekadang DIA melepaskan kau daripada kedua-duanya
agar engkau tidak bergantung kepada
sesuatu selain-NYA !

Egonya Aku

Kekadang aku terlalu biadap
menyoal-Mu
kenapa aku...
tidak dia, tidak mereka

Terasa egonya hati
terasa kasarnya jiwa
berhadapan dengan mahu-Mu
aku tidak redha

Ahh... aku si debu yang hina
terbang bagai habuk di kaki langit
sudah dikendong
ingin pula dijunjung

Ya ALLAH... 
berikanlah aku kerendahan itu
agar aku mampu merayu-rayu-Mu
Ya ALLAH... berikanlah kelembutan hati
agar aku teleku, tunduk dan tersembam
di telapak redha-Mu


Ikhlas Itu Rahsia

Kita memberi bukan untuk menerima
Menabur bukti bukan untuk dianggap berjasa
tulus, putih dan murni hati kita
memberi adalah kerana-NYA jua

Tidak mengapa jika tidak dikenang
asalkan segalanya memberi satu ketenangan
menyebut kebaikan meragut keikhlasan 
bukan kerana kelebihan kita

Dalam samar mainan rasa
kekadang datang jua serpihan bangga
mengharap adanya balasan
mendamba hadirnya kemasyhuran

Bukan itu yang diburu sejak mula
ditagih kasih rasa di depan-Mu
bila terasa segalanya daripada-Mu
rebahlah segala daripadaku yang hina

TUHAN...
dunia ini tidak panjang
tahun terasa detik di putaran usia
mengharap yang abadi
kan lenyap segala ilusi
bantulah aku
dalam memahami rahsia itu !

Lukisan Alam

Hidup tidak selalunya indah
langit tak selalunya cerah
malam suram tak berbintang
itulah lukisan alam
begitu aturan TUHAN

Jadilah rumput nan lemah lembut
tak luruh dipukul ribut
jadilah karang di dasar lautan
tak terusik dilanda badai
dalam sukar...
hitung kesyukuranmu
dalam senang...
awasi kealpaanmu
setitis derita segunung kurniaan-NYA
jangan kau harapkan kesenangan
hidup satu perjuangan
jangan dendam berpanjangan
maafkan kesalahan insan

Dalam diam...
taburkanlah baktimu
dalam tenang...
buangkan amarahmu
suburkan sabar
dalam jiwamu itu
kini kau masih dalam timangan
dewasalah bersama harapan
kenalilah erti kehidupan
hiduplah bersama Islam
bahagialah bersama Islam

Bila Bersendirian

Bila bersendirian
jangan rasa kesepian
walau tanpa teman 
kita tetap diperhatikan

Dalam gelap atau terang
ada mata yang sentiasa jaga
melihat perlakuan dan rasa
mencatat dosa atau pahala

Bila bersendirian 
jangan katakan 'aku sunyi'
sebaliknya selalu bisikkan di dalam hati
pada diriku sentiasa
ada Pemerhati

Bila bersendirian
teruji keikhlasan
tanpa kejian atau pujian
apakah terus ada kesetiaan 
berfikir dan berzikir
dengan tulus kesunyian !

Bangkit daripada Gelita

Tersedar aku daripada kegelapan
terlerai belenggu yang mengikat
tersingkap segala hijab yang gelap
lalu kulihat alam dari mata hatiku
jalan yang jitu bukan yang palsu

Oh... inilah cahaya dalam diri 
yang selama ini kucari-cari
aku bangkit kembali
aku mula mengenali diri
lalu terpancar keindahan ILAHI

Dalam kelam, suram masih ada hidayah
TUHAN tidak melihat pada aksi dan seri wajah
tapi selagi punya hati yang masih sudi merintih
oleh dosa, oleh alpa...

Kiranya masih terpilih tidak tersisih
menjadi seorang hamba yang solehah lalu aku bangun
menuju jalan itu, jalan satu di ribuan liku

Aku ada teman
Aku ada TUHAN
di ditu jalan cahaya
aku bangkit daripada gelita
melangkah satu demi satu dengan waja !

Antara Dua Cinta

Apa yang ada jarang disyukuri
apa yang tiada sering dirisaukan
nikmat yang dikecap
baru kan terasa bila hilang
apa yang diburu timbul rasa jemu
bila sudah di dalam genggaman

Dunia ibarat air laut
diminum hanya menambah haus
nafsu bagaikan fatamorgana di pasang pasir
panas yang membahang disangka air
dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
dilihat ada ditangkap hilang

TUHAN... leraikanlah dunia
yang mendiam di dalam hatiku 
kerana di situ tidak ku mampu
mengumpul dua cinta

Hanya cinta-Mu kuharap tumbuh
dibajai bangkai dunia yang kubunuh
apa yang ada disyukuri
apa yang tiada sering dirisaukan

Monday, December 24, 2012

Ada hikmahnya mungkin

Alhamdulillah, sekarang dah nak dekat 3bulan aku di perantauan. Banyak benda yang aku belajar sekarang. Ya, semakin matang jugakla anak mak sorang ni. Kalau dulu semua mak yang tolong buatkan. Sikit-sikit mak. Baju sekolah masa Form 5 dulu pun mak yang tolong ironkan. Kalau minggu tu boleh balik rumah, memang sah malas nak basuh baju dekat asrama. Himpun banyak-banyak, bawak balik rumah. Mak la yang tolong basuh, sidai, lipatkan sekali. Allah, bidadarikah kau kirimkan kepada aku? Hm, memang sudah terang lagikan bersuluh, memang pemalas jugak aku ni.

Bapak macam biasa la, selalu tak setuju bila mak tolong buat semua benda ni. Ya la, bukan mak buat kat aku sorang, adik aku ada lagi 3 orang. Kalau masak memang, meggi ja yang aku pro pun dulu. Ahha, pro la sangat.

Semakin cepat masa berlalu. Rasanya macam baru ja aku pergi daftar di jamiaah, sekarang dah nak habis Sem 1. Memang betul la, 3 bulan dekat Malaysia tak sama dengan 3 bulan di Jordan. Susah senang aku kat sini, Allah sentiasa ada untuk aku. Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah.

Saat aku susah, cepat sangat Allah keluarkan aku dari kesusahan tu. Betapa kerdillnya aku atas muka bumi ni, Allah masih pilih aku.

Ambillah teladan daripada kata-kata Umar al-Khattab RA. Diriwayatkan bahawa Umar berkata, "Setiap kali aku ditimpa musibah, aku berfikir empat perkara, dengan demikian jiwaku akan menjadi tenang, iaitu :

Pertama : Aku berfikir siapakah yang memberikan aku musibah ini? Dia adalah Allah. Maka dengan segera jiwaku menjadi tenang.

Kedua : Aku berfikir bahawa Allah mampu menimpakan kepadaku musibah yang lebih besar daripada yang ku hadapi, dan Allah hanya memberikanku setakat ini sahaja, lantas aku memuji Allah atas musibah yang sedikit ini.

Ketiga : Aku selalu ingat sabda Rasulullah bermaksud :

             Tidaklah seorang mukmin terkena satu duri dan yang lebih besar daripada itu kecuali Allah mengangkatnya satu darjat atau menghapuskan daripadanya satu dosa.
 ( Daripada Aisyah, Riwayat Muslim )

Keempat : Aku berfikir bahawa musibah yang terjadi adalah di dunia dan bukannya di akhirat.

Allah, hebatnya Umar. Sahabat nabi yang dijanjikan syurga pun tak lepas daripada diuji. Nak dibandingkan dengan aku ni. Kalau setakat duit lambat masuk, imtihan tak dapat score target, lumrah kehidupan la tu Zuk. Memang la sakit sikit, tapi tu tandanya Allah masih pandang. Itu tanda Allah nak kita sungguh-sungguh jalani hidup sebagai hamba atas muka bumi ni. Mungkin aku yang membiarkan diri sendiri dalam kelemahan.

Alhamdulillah Ya Allah di atas suka dan duka perjalananku yang panjang ini.

Zukreena Zulkeplee
25 Disember 2012
Amman, Jordan






Friday, December 21, 2012

Hilangkan Kedahagaan Jiwa

Rasa dahaga di tekak, mampu dihilangkan dengan air.

Tetapi, rasa dahaga di jiwa, tidak ada unsur kebendaan atau materialisme yang dapat menghilangkannya.

Jiwa yang kedahagaan menyebabkan tidak bertemu jalan menuju kebahagiaan hakiki.

Jiwa yang kedahagaan menyebabkan kita sesat dalam belantara fatamorgana dunia.

Makna Bahagia di Mana ?

Ada orang mencari makna bahagia sebenar dalam kehidupannya, tetapi tidak juga bertemu dengannya.


Ada orang mencari makna bahagia pada harta dan kekayaannya, tetapi yang dia jumpa akhirnya hanyalah derita.

Ada orang mencari makna bahagia pada kedudukan dan pangkat yang hebat, tetapi yang dia jumpa akhirnya hanyalah fitnah yang menyesakkan dada.


Hakikatnya, di manakah bahagia yang sebenarnya?

Semakin Dahaga.

Jiwa tidak terisi hakikatnya. Bukan bahagia yang datang, tetapi derita pula yang menyerang. Bukan ketenangan yang diperolehi, tetapi keresahan pula yang mengisi hati.


Semakin diisi dengan perkara-perkara begitu, semakin terasa hausnya. Dahaga dan semakin dahaga.

Dicuba semuanya, tetapi tidak berjumpa. Hiburan sudah, rokok pun sudah,movie pun sudah. Nak dikatakan miskin, harta melimpah ruah. Nak dikatakan kerja lekeh, pangkat pengurus dan pengarah besar syarikat. Tetapi entah kenapa jiwa masih terus rasa resah. Walaupun jelas semua itu nampak hebat di mata manusia, tetapi di dalam jiwanya ada keserabutan yang tidak akan diketahui dan difahami oleh sesiapapun.

Umpama orang dahaga, yang minum air laut. Bukan semakin hilang dahaganya, tetapi semakin bertambah pula hausnya. Minum juga, tetapi minum air yang salah.

Begitulah juga jiwa kita. Bila diberi 'minum' minuman yang salah ketika jiwa kita sedang dahaga, maka ia sekali-kali tidak mampu mengisi dan menghilangkan kedahagaan itu.

Hilangkan Dahagamu !

Tidak ada yang dapat menghilangkan dahaga itu melainkan kembali merapat kepada Allah s.w.t


Itulah sebaik-baik penghilang dahaga.

Jauh dari Dia, adalah punca kedahagaan yang melanda jiwa kita. Kita selalu mengabaikan-Nya meskipun dalam solat kita, bahkan kalam-Nya jarang kita tatap dan hayati.

Menyebabkan kita harus mencari pengganti yang tidak layak pun mengganti kedudukan semua itu untuk mengisi kedahagaan di dalam jiwa kita.

Allah s.w.t telah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud :

"Sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang."

Itulah ubat sebenar kepada kedahagaan kita. Yang kita tidak akan temukannya pada apa-apa unsur kebendaan melainkan hanya pada Dia.


Kerana pemilik kepada jiwa kita ini adalah Dia, maka Dia sahajalah yang mengetahui keadaan hati kita. Ketika kita dilanda oleh kesusahan dan keresahan yang tidak dapat difahami oleh mana-mana manusia pun hatta yang rapat dengan kita, Dia tetap memahami dan mengetahui itu semua.

Dia tahu segala-galanya yang ada dalam jiwa kita. Dia tahu betapa mudahnya jiwa kita berbolak-balik dan bertukar arah. Lantaran itulah, Dia tidak pernah tinggalkan kita keseorangan begitu sahaja, terkapai-kapai hanyut dibawa arus dunia.

Dia tinggalkan panduan untuk kita, supaya dari panduan itu, kita mampu mengisi kekosongan di dalam jiwa yang tidak mungkin dapat diisi oelh sesuatu yang lain.

Tinggal kita sahaja, mahu mengambilnya atau mahu meninggalkannya?

Bahagia itu hakikatnya terlalu dekat dengan kita, tetapi kitalah yang salah kerana meninggalkannya.

Segerakan. Jangan Sampai Jiwa Kita Mati.

Segerakanlah. Sebelum dahaga itu bertambah teruk, mengundang lebih banyak bencana kepada kita, segeralah kembali rapat kepada-Nya.


Akrab dengan-Nya adalah satu-satunya jalan memperoleh bahagia hakiki.

Akrab dengan-Nya adalah ubat kepada kedahagaan ini.

Meninggalkan-Nya, adalah bencana kepada jiwa kita. Ia akan menyebabkan jiwa kita jatuh sakit, dan lama-kelamaan mati kekontangan kerana tidak mendapat bekalan sepatutnya.

Sebelum jiwa kita menjadi lebih parah, segerakanlah diri kita untuk kembali rapat kepada-Nya.

Ubat kepada segala masalah di dalam jiwa kita, ada pada-Nya. Tinggalkan percaya kepada-Nya, pastilah Dia akan datangkan ketenangan dan bahagia di jiwa kita untuk menghadapi semuanya.

Kenapa Perlu Berputus Asa ?



Kopipasta from : Afdholul Rahman 

Sehingga saat saya menulis artikel ini, saya tidak pasti telah berapa ramaikah manusia di dunia ini yang telah kehilangan harapan dalam hidupnya sekaligus membuatkan dia merasa berputus asa dengan kehidupan ini lalu mengambil keputusan untuk menamatkan hidupnya dengan cara yang sangat buruk.
Saya akui betapa kehidupan ini memang susah. Penuh onak duri dan dugaan.
Ada orang yang telah menamatkan hidupnya dengan membunuh diri untuk menyelesaikan segala tekanan yang membebani jiwanya. Ada orang telah memilih menjadi penagih dadah sebagai jalan mencari ketenangan dalam hidupnya. Ada orang yang memilih untuk berseronok di kelab-kelab malam, menari dan berfoya-foya bersama teman masing-masing, dengan harapan mereka dapat melepaskan segala tekanan yang telah menimpa diri sewaktu mereka bekerja.
Hakikatnya, masalah tidak selesai. Mereka pun tidak berjaya sebenarnya untuk mendapatkan ketenangan yang hakiki.
Ya. Barangkali seronok. Tetapi seronoknya cuma untuk seketika. Usai berfoya-foya, hilanglah semua keseronokan itu dan dia akan kembali berdepan tekanan demi tekanan yang mungkin lebih berat lagi daripada yang biasa dihadapinya sebelum itu.
Waktu-waktu begitu, diuji dengan tekanan yang lebih berat, apakah dos berfoya-foya dan berseronok di kelab malam serta pelbagai jalan lain yang negatif itu masih mampu memberikan ketenangan kepada jiwa kita ?

Tekanan Dan Kesusahan Akan Tetap Dihadapi, Tetapi Bagaimana Diri Kita Yang Menghadapinya?
Ada orang diuji dengan tekanan berurusan dengan manusia, lantas terus keluar maki hamun di mulutnya, mengeji orang itu, mengata sana ini untuk memuaskan hatinya.
Ada orang pula menghadapi tekanan di pejabat dan tempat kerjanya, lalu demi mendapatkan ketenangan, dia mencari kelab-kelab malam sebagai tempat melempiaskan segala tekanan di jiwanya.
Ada orang pula yang gagal dalam peperiksaannya, lalu mengambil keputusan untuk membunuh dirinya demi menghilangkan rasa malu.
Tekanan. Kesusahan.
Di mana-mana pun kita pasti akan menghadapinya. Tinggal lagi, setiap orang diuji berbeza dengan keadaan dirinya.
Bila diuji dengan tekanan diri dan kesusahan, sepatutnya bukan persoalan ‘kenapa ini yang menimpa aku’ terlintas di pemikiran kita. Bertanyalah 1000 kali soalan sebegitupun, kita tetap tidak akan mampu mengubahnya, melainkan kita bertanya sebagai ruang untuk memuhasabah melihat segala kesalahan kita di masa lepas, maka itu tidak ada masalah.
Tetapi, sekiranya kita bertanya soalan sebegini kerana merasa Tuhan itu tidak patut kerana menghukum kita sebegini, maka tidak akan memberi apa-apa jua makna kepada diri kita.
Yang sepatutnya adalah kita bertanya diri kita – ‘Bagaimana aku patut hadapi masalah ini’. Inilah yang sepatutnya terlintas di benak kita.
Ujian sudah di depan kita. Masalah sudah di depan kita. Untuk apa lagi kita bertanya, ‘kenapa aku? kenapa aku?’? Selesaikanlah !
Tenangkan diri dan cari jalan penyelesaian dengan baik.

Kenapa Perlu Cepat Berputus Asa?
Kadangkala, ada manusia yang diuji dengan masalah putus cinta. Ya, saya tahu putus cinta itu memeritkan. Tetapi, kenapa perlu menambah keperitan itu dengan memilih jalan untuk menoreh urat nadi di tangan, menggantung diri, mencampakkan diri ke kancah kebinasaan? Kenapa?
Adakah itu akan menyelesaikan masalah?
Kita ini hilang rasional bila berdepan dengan ujian dan kesusahan. Lebih banyak emosional.
Emosional yang terlampau tidak akan mampu menyelesaikan masalah. Sebab itulah, Allah s.w.t. telah menunjukkan kita jalan menjadi rasional. Ia terpakai pada semua sudut kehidupan.
“Hanya dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang.” [Ar-Ra’du : 28]
Dalam ayat yang lain, Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud :
“Dialah yang telah menurunkan (sakinah) ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin untuk menambah keimanan atas keimanan mereka (yang telah ada).” [Al-Fath : 4]
As-Syahid Sayyid Qutb menyebut dalam tafsir Fi Zilalil Quran tentang perkataan ‘sakinah’ yang dimaksudkan dalam ayat ini, katanya – “Dan sakinah ketika Allah menurunkannya ke dalam hati manusia, ia akan menjadi sesuatu yang menenangkan dan merehatkan, meyakinkan dan menimbulkan kepercayaan, keseriusan dan kekuatan, serta penerimaan dan keredhaan.”
Inilah rasional yang telah dididik oleh Allah s.w.t. kepada manusia melalui Al-Quran. Tinggal lagi, kita yang tidak mengambilnya dan melaksanakannya dalam kehidupan harian kita. Maka, saat kita berdepan dengan tekanan dan kesusahan, bukan diri kita yang menguasai masalah dan tekanan itu, sebaliknya diri kita pula yang dikuasai oleh tekanan dan masalah.
Bila hati tidak tenang, jiwa pun kacau, bagaimana mungkin kita mampu menetapkan keputusan yang baik untuk hidup kita?
Sebab itulah ramai yang tersasar ketika menentukan pilihan hidupnya setelah menghadapi tekanan dan masalah. Jiwanya tidak tenang, dalam hatinya tidak ada ketenangan dan kerehatan sehingga memampukan dirinya untuk menetapkan keputusan yang betul. Yakin dan percaya diri sendiri juga sudah mula memudar.
Hendak redha dan menerima ujian itu dengan hati yang ikhlas dan sabar apatah lagi.
Akhirnya, kelemahan mula menapak di dalam diri sehingga menyebabkan penyakit putus asa sangat mudah menjangkiti jiwa.
Jauh dari Allah. Inilah punca utama yang telah menyebabkan ramai manusia tergelincir dari landasan kehidupannya yang sebenar.

Penutup : Jangan Pernah Berputus Asa, Tolong Jangan.
Saya tahu, ada manusia diuji dengan ujian yang begitu berat sehingga menyebabkan hatinya dihimpit dengan tekanan dan kesusahan yang sangat memeritkan. Barangkali ada yang pernah diuji sehingga kehilangan hampir segala-galanya dalam hidupnya.
Tetapi, ketahuilah Allah itu tidak akan pernah menganiaya hamba-hambaNya. Tidak pernah. Tidak sekali-kali.
Allah berfirman dalam surah Rum ayat ke-36 yang bermaksud :
“Dan apabila Kami berikan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan (rahmat) itu. Tetapi apabila mereka ditimpa sesuatu musibah (bahaya) kerana kesalahan mereka sendiri, seketika itu mereka berputus asa.”
Bukan ujian itu datang untuk menyusahkan kita apalagi menyuruh kita berputus asa daripada kehidupan. Kita sendirilah yang memilih sama ada untuk terus kuat atau berputus asa daripada menghadapinya.
Ketika kita putus asa, maka tidak ada siapa-siapa yang harus disalahkan. Tetapi salahkanlah diri kita sendiri kerana kita sendiri yang memilih untuk menjadi lemah dan kalah.
Allah s.w.t. tidak henti-henti memberikan dorongan dan galakan agar kita terus kuat menghadapi tekanan dan rasa susah dalam hidup. Dalam surah Yusuf, ayat 87, yang bermaksud :
“Dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya yang berputus asa dari rahmat hanyalah orang-orang yang kafir.”
Kembali akrab dengan Allah. Pastilah kita akan temui ketenangan di celah keserabutan hidup yang kita lalui, pasti kita temui kekuatan untuk ikhlas dan sabar mendepani tekanan dan kesusahan dalam kehidupan.
Yang penting, janganlah pernah putus asa. Tolonglah jangan !

Thursday, December 6, 2012

Semalam, Hari Ini dan Esok

Hari ini adalah esok yang saya bimbangkan semalam
Dan hari ini adalah hari yang indah
Saya hairan kenapa saya bimbang tentang esok
Dan mungkin juga, esok tidak akan muncul tiba

Jadi hari ini saya akan hidup seperti tiada esok
Dan saya akan lupakan tentang semalam
Hari ini adalah hari esok yang telah saya rancang semalam
Dan hampir semua rancangan saya untuk hari ini tidak berjalan seperti yang
saya harapkan semalam

Jadi hari ini saya akan lupakan esok dan merancang untuk ke hari ini
Tapi saya tidak akan bekerja terlalu kuat
Saya akan cuba menikmati keindahan kehidupan ini
Saya akan ucapkan kata-kata sayang kepada orang yang saya kasihi
Saya tidak akan merancang untuk esok lagi dan akan menjadikan hari ini hari
terbaik dalam hidup saya.

Hari ini adalah hari esok yang saya risaukan semalam
Dan hari ini, tidak ada apa yang perlu ditakutkan
Jadi hari ini, saya akan buangkan segala ketakutan tentang perkara yang tidak
saya ketahui
Saya akan anggap perkara-perkara ini sebagai pengalaman hidup yang penuh dengan peluang
Hari ini, tidak seperti semalam, saya tidak takut menghadapi hari esok.
Hari ini adalah hari esok yang saya mimpikan semalam
Dan sebahagian daripada mimpi yang muncul semalam menjadi kenyataan hari ini
Jadi, hari ini saya akan bermimpi tentang esok
Dan mungkin lebih banyak mimpi yang muncul hari ini akan menjadi kenyataan esok
Hari ini adalah hari esok dan saya tetapkan matlamat untuk semalam
Dan saya berjaya mencapai sebahagian daripada matlamat itu hari ini.

Jadi, hari ini saya akan menetapkan matlamat yang lebih tinggi untuk hari ini
dan untuk hari esok
Dan jika esok sama seperti hari ini
Saya pasti akan mencapai semua matlamat saya satu hari nanti!

Zukreena Zulkeplee
Amman, Jordan

Perspektif


Bacalah...

Faizal dan Mimi adalah pesakit di sebuah rumah sakit mental. Pada suatu hari, mereka berjalan di tepi kolam renang yang terdapat di hospital tersebut. Tiba-tiba Mimi melompat masuk ke dalam kolam renang yang dalam itu dan terus tenggelam. Tanpa memikirkan tentang keselamatannya, Faizal terjun dan menarik Mimi ke permukaan air. Dia mengeluarkan Mimi dari kolam renang dan berjaya menyelamatkan Mimi.

Keesokan harinya adalah hari pemeriksaan bagi Faizal, di mana dia diperiksa, setahun sekali, untuk menentukan keadaan mentalnya. Dia dibawa berjumpa dengan lembaga pengarah hospital, di mana pengarah hospital itu memberitahunya, 'Faizal, saya ada berita baik dan berita buruk untuk awak. Berita baiknya, oleh kerana awak menyelamatkan Mimi semalam, kami menganggap awak sudah siuman. Jadi awak boleh meninggalkan rumah sakit ini dan kembali ke pangkuan masyarakat. Sementara berita buruknya pula, Mimi, pesakit yang awak selamatkan itu, menggantung diri di bilik mandi dengan tali pinggangnya, sejurus selepas awak menyelamatkannya. Mimi sudah meninggal dunia. "

"Dia tidak menggantung dirinya sendiri," jawab Faizal. "Saya yang menggantungnya sebab saya mahu mengeringkannya."

Perspektif.


Ya, kehidupan kita ini sentiasa mengenai perspektif. Bagi kita, apa yang Faizal lakukan itu adalah sesuatu yang salah dan yang tidak boleh diterima, tetapi tidak bagi Faizal.

Jika kita katakan bahawa hujan itu menyusahkan, orang lain akan mengatakan yang hujan itu menyamankan. Aiskrim menggemukkan? Tidak, ianya memberi tenaga segera. Rawatan kemoterapi tidak elok? Ianya memberi peluang kepada pesakit kanser untuk sembuh dan meneruskan kehidupan. Permainan bola sepak adalah permainan paling pelik di mana dua puluh dua lelaki mengejar sebiji bola ke sana-sini? Tidak, permainan ini memberi peluang pekerjaan kepada berjuta orang di seluruh dunia.

Renung-renungkanlah.

Perbaiki Kemahiran Berkomunikasi Kita

Alkisah,

Pemanggil : Helo, boleh saya bercakap dengan Ani Wan? ( Ani Wan = Anyone = Sesiapa )

Operator    : Ya, awak boleh bercakap dengan saya.

Pemanggil : Bukan, saya ingin bercakap dengan Ani Wan!

Operator    : Ya, saya faham awak mahu becakap dengan sesiapa. Jadi, awak boleh bercakap dengan saya. Siapa ni?                

Pemanggil : Saya Sam Wan. Saya mahu bercakap dengan Ani Wan! Ada perkara penting.  (Sam Wan = Someone = Seseorang )
                    
Operator    : Ya, saya tahu awak Sam Wan dan awak mahu bercakap dengan Ani Wan! Tetapi apa yang awak hendak cakapkan?
                     
Pemanggil : Tolong beritahu adik saya, Ani Wan yang abang kami Noe Wan terlibat dalam kemalangan. Noe Wan tidak cedera, dan dia sekarang sudah dihantar ke hospital. Sekarang ni, Avery Wan dalam perjalanan ke hospital ( Noe Wan = No one = Tiada Sesiapa ) ( Avery Wan = Everyone = Semua Orang )
                    
Operator     : Jika tidak ada sesiapa yang cedera dan tidak ada sesiapa yang dihantar ke hospital, tentulah kemalangan itu bukan perkara penting! Awak mungkin nak berlawak  dengan saya, tapi saya tidak ada masa nak melayan awak!  
                    
Pemanggil  : Biadapnya awak ni! Siapa nama awak?

Operator     : Saya Saw Ree ( Saw Ree = Sorry = Minta Maaf )

Pemanggil  : Ya! Awak memang patut minta maaf. Apa nama awak?

Operator      : Saya dah sebut tadi. Saya Saw Ree.

Pemanggil   : Oh..tidak!!!

Kisah Si Nelayan dan Ikan Jerung



Orang Jepun memang sangat gemar makan ikan segar. Tetapi kawasan perairan yang berhampiran dengan negeri Jepun tidak lagi mempunyai banyak ikan untuk beberapa dekad kebelakangan ini. Jadi, untuk menampung keperluan penduduk negeri Jepun, penangkapan ikan terpaksa dilakukan jauh ke tengah laut dan kapal-kapal menangkap ikan juga menjadi bertambah besar.

Lebih jauh nelayan-nelayan itu pergi menangkap ikan, lebih panjang masa yang diambil untuk membawa ikan-ikan ke pantai. Dan perkara ini menimbulkan satu masalah. Jika perjalanan pulang ke pantai mengambil masa lebih daripada beberapa hari, ikan-ikan yang ditangkap itu tidak dapat bertahan dan menjadi tidak segar. Dan orang-orang Jepun tidak suka ikan yang tidak begitu segar!

Untuk menangani masalah ini, syarikat-syarikat perikanan meletakkan peti-peti untuk membekukan ikan-ikan yang ditangkap di dalam kapal mereka. Ikan-ikan yang ditangkap akan terus disimpan di dalam peti tersebut. Ini membolehkan nelayan pergi lebih jauh ke tengah laut dan menangkap ikan. Mereka fikir mereka telah berjaya menyelesaikan masalah ikan segar mereka.

Tetapi sangkaan mereka meleset! Pelanggan-pelanggan mereka dapat membezakan rasa ikan segar dan ikan beku, dan mereka tentunya tidak gemarkan rasa ikan beku.

Akibatnya, ikan-ikan beku tersebut terpaksa dijual pada harga yang lebih rendah. Tetapi, syarikat perikanan tidak berputus asa. Mereka berusaha lagi.

Kali ini, mereka meletakkan tangki ikan di dalam kapal mereka. Mereka bercadang untuk memasukkan ikan-ikan yang ditangkap ke dalam tangki tersebut. Selepas beberapa ketika, ikan-ikan yang dipadatkan ke dalam tangki itu tidak dapat bergerak lagi. Ianya menjadi letih dan lemah tetapi apa yang penting, ikan-ikan tersebut masih hidup.

Anda tentu tidak percaya apa yang berlaku seterusnya. Syarikat-syarikat perikanan terkejut kerana pelanggan-pelanggan mereka masih tidak berpuas hati dengan rasa ikan-ikan yang dijual. Mereka masih dapat merasakan perbezaan pada rasa ikan tersebut. Oleh kerana ikan-ikan itu tidak bergerak untuk beberapa hari, ianya tidak lagi mempunyai rasa ikan segar. Dan pelanggan-pelanggan itu gemarkan rasa ikan segar yang aktif dan bukannya ikan yang lemah. Hmm

Setelah berfikir dan berbincang, syarikat-syarikat perikanan itu mendapat satu idea yang bagus.

Untuk memastikan yang ikan tangkapan mereka kekal segar sepanjang masa, nelayan-nelayan itu masih memasukkan ikan mereka ke dalam tangki ikan. Tetapi kali ini, mereka memasukkan seekor ikan jerung kecil ke dalam setiap tangki.  Ikan jerung itu akan memakan beberapa ekor ikan tetapi kebanyakan ikan-ikan itu tiba ke tepi pantai dalam keadaan aktif dan segar kerana ianya terpaksa berenang ke sana ke sini untuk mengelakkan diri daripada dimakan oleh ikan jerung tersebut. Ini adalah kerana ikan-ikan tersebut terpaksa berjuang ketika berhadapan dengan cabaran.

SubhanAllah, bukankah kehidupan ini suatu nikmat yang tidak terhingga? Sungguh hebat...

Kisah Si Jejaka dan Lorong Yang Dilaluinya


Babak 1 :

Saya sedang berjalan di sebuah lorong dan terdapat sebuah lubang yang dalam di tengah-tengah lorong tersebut. Saya terjatuh ke dalamnya. Saya mengambil masa yang agak lama untuk keluar dari dalam lubang itu. Tetapi apa yang terjadi bukanlah salah saya.

Babak 2 :

Saya berjalan di lorong yang sama sekali lagi. Dan sekali lagi saya terjatuh ke dalam lubang yang sama. dan seperti sebelumnya, saya mengambil masa yang lama untuk keluar dari lubang itu. Apa yang terjadi adalah salah saya.

Babak 3 :

Saya berjalan di lorong yang sama sekali lagi. Dan sekali lagi saya terjatuh ke dalam lubang yang sama. Ianya menjadi seperti satu kebiasaan. Apa yang terjadi sudah tentu disebabkan oleh kesalahan saya sendiri. Saya keluar dari lubang itu dengan segera.

Babak 4 :

Saya berjalan di lorong yang sama sekali lagi dan terlihat lubang yang dalam di tengah-tengah lorong itu. Saya berjalan di tepi lubang itu.

Babak 5 :

Saya berjalan di lorong yang lain.

Menarik, kan? Kisah ini ditulis dengan begitu indah kerana ianya sangat ringkas dan tepat. Di sebalik kesederhanaannya, kisah ini membawa maksud yang mendalam tentang perubahan yang perlu kita lakukan....


Berubahlah. Bertaubat dan berserahlah. Dan anda akan mencapai kejayaan.

Alkisah



Pada satu hari, Ibrahim ibn Adham cuba memasuki sebuah rumah mandi umum. Pekerja rumah mandi tersebut menahan Ibrahim dan meminta bayaran masuk daripadanya. Ibrahim terpaku dan mengaku yang dia tidak mempunyai wang.

Pekerja rumah mandi itu berkata, "Jika awak tidak mempunyai wang, awak tidak boleh masuk ke dalam rumah mandi ini." Ibrahim ibn Adam lantas terduduk di atas tanah sambil menangis teresak-esak. Orang ramai yang lalu-lalang di situ berhenti dan cuba menenangkannya. Ada pula yang menghulurkan wang supaya dia boleh masuk ke rumah mandi tersebut.

Ibrahim ibn Adham berkata : "Saya menangis bukan kerana saya tidak dibenarkan masuk ke tempat ini. Apabila pekerja itu meminta wang bayaran, saya teringat suatu perkara yang membuat saya menangis. Saya tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah mandi di dunia ini jika saya tidak membuat bayaran. Jadi, adakah saya berpeluang untuk masuk ke Syurga ? Apa yang berlaku pada saya apabila mereka bertanya, 'Apakah perkara baik yang telah kamu lakukan? Apakah sumbangan yang telah awak berikan yang membolehkan awak memasuki Syurga ?' Sebagaimana saya tidak dibenarkan memasuki rumah mandi ini jika saya tidak membuat bayaran, begitu jugalah saya tidak akan dibenarkan masuk ke Syurga jika saya tidak melakukan amalan baik semasa di dunia. Itulah yang membuatkan saya sedih dan menangis."

Apabila orang ramai yang mengelilingi Ibrahim ibn Adham mula berfikir dan merenung kehidupan dan amalan mereka sendiri, mereka semua turut menangis bersamanya. Renung-renungkanlah.