Rasa dahaga di tekak, mampu dihilangkan dengan air.
Tetapi, rasa dahaga di jiwa, tidak ada unsur kebendaan atau materialisme yang dapat menghilangkannya.
Jiwa yang kedahagaan menyebabkan tidak bertemu jalan menuju kebahagiaan hakiki.
Jiwa yang kedahagaan menyebabkan kita sesat dalam belantara fatamorgana dunia.
Makna Bahagia di Mana ?
Ada orang mencari makna bahagia sebenar dalam kehidupannya, tetapi tidak juga bertemu dengannya.
Ada orang mencari makna bahagia pada harta dan kekayaannya, tetapi yang dia jumpa akhirnya hanyalah derita.
Ada orang mencari makna bahagia pada kedudukan dan pangkat yang hebat, tetapi yang dia jumpa akhirnya hanyalah fitnah yang menyesakkan dada.
Hakikatnya, di manakah bahagia yang sebenarnya?
Semakin Dahaga.
Jiwa tidak terisi hakikatnya. Bukan bahagia yang datang, tetapi derita pula yang menyerang. Bukan ketenangan yang diperolehi, tetapi keresahan pula yang mengisi hati.
Semakin diisi dengan perkara-perkara begitu, semakin terasa hausnya. Dahaga dan semakin dahaga.
Dicuba semuanya, tetapi tidak berjumpa. Hiburan sudah, rokok pun sudah,movie pun sudah. Nak dikatakan miskin, harta melimpah ruah. Nak dikatakan kerja lekeh, pangkat pengurus dan pengarah besar syarikat. Tetapi entah kenapa jiwa masih terus rasa resah. Walaupun jelas semua itu nampak hebat di mata manusia, tetapi di dalam jiwanya ada keserabutan yang tidak akan diketahui dan difahami oleh sesiapapun.
Umpama orang dahaga, yang minum air laut. Bukan semakin hilang dahaganya, tetapi semakin bertambah pula hausnya. Minum juga, tetapi minum air yang salah.
Begitulah juga jiwa kita. Bila diberi 'minum' minuman yang salah ketika jiwa kita sedang dahaga, maka ia sekali-kali tidak mampu mengisi dan menghilangkan kedahagaan itu.
Hilangkan Dahagamu !
Tidak ada yang dapat menghilangkan dahaga itu melainkan kembali merapat kepada Allah s.w.t
Itulah sebaik-baik penghilang dahaga.
Jauh dari Dia, adalah punca kedahagaan yang melanda jiwa kita. Kita selalu mengabaikan-Nya meskipun dalam solat kita, bahkan kalam-Nya jarang kita tatap dan hayati.
Menyebabkan kita harus mencari pengganti yang tidak layak pun mengganti kedudukan semua itu untuk mengisi kedahagaan di dalam jiwa kita.
Allah s.w.t telah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud :
"Sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang."
Itulah ubat sebenar kepada kedahagaan kita. Yang kita tidak akan temukannya pada apa-apa unsur kebendaan melainkan hanya pada Dia.
Kerana pemilik kepada jiwa kita ini adalah Dia, maka Dia sahajalah yang mengetahui keadaan hati kita. Ketika kita dilanda oleh kesusahan dan keresahan yang tidak dapat difahami oleh mana-mana manusia pun hatta yang rapat dengan kita, Dia tetap memahami dan mengetahui itu semua.
Dia tahu segala-galanya yang ada dalam jiwa kita. Dia tahu betapa mudahnya jiwa kita berbolak-balik dan bertukar arah. Lantaran itulah, Dia tidak pernah tinggalkan kita keseorangan begitu sahaja, terkapai-kapai hanyut dibawa arus dunia.
Dia tinggalkan panduan untuk kita, supaya dari panduan itu, kita mampu mengisi kekosongan di dalam jiwa yang tidak mungkin dapat diisi oelh sesuatu yang lain.
Tinggal kita sahaja, mahu mengambilnya atau mahu meninggalkannya?
Bahagia itu hakikatnya terlalu dekat dengan kita, tetapi kitalah yang salah kerana meninggalkannya.
Segerakan. Jangan Sampai Jiwa Kita Mati.
Segerakanlah. Sebelum dahaga itu bertambah teruk, mengundang lebih banyak bencana kepada kita, segeralah kembali rapat kepada-Nya.
Akrab dengan-Nya adalah satu-satunya jalan memperoleh bahagia hakiki.
Akrab dengan-Nya adalah ubat kepada kedahagaan ini.
Meninggalkan-Nya, adalah bencana kepada jiwa kita. Ia akan menyebabkan jiwa kita jatuh sakit, dan lama-kelamaan mati kekontangan kerana tidak mendapat bekalan sepatutnya.
Sebelum jiwa kita menjadi lebih parah, segerakanlah diri kita untuk kembali rapat kepada-Nya.
Ubat kepada segala masalah di dalam jiwa kita, ada pada-Nya. Tinggalkan percaya kepada-Nya, pastilah Dia akan datangkan ketenangan dan bahagia di jiwa kita untuk menghadapi semuanya.
Friday, December 21, 2012
Hilangkan Kedahagaan Jiwa
Posted by Hikayat Suka Duka at 9:50 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

0 comments:
Post a Comment